Skip to main content

Hoki

Liga Dunia: Dhaarma mahu cipta kejutan

8517dhaarmaraj.jpg
Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, enggan melihat Malaysia sekadar akur turun sebagai pasukan bukan pilihan, sebaliknya menagih kejutan daripada anak buahnya dalam Separuh Akhir Liga Dunia di Belgium, bulan depan.

Menyedari Malaysia berada dalam kumpulan maut bersama Australia, New Zealand, Sepanyol dan tuan rumah, Belgium, Dhaarma menegaskan ia bukan masanya untuk berasa kerdil.

Skuad wanita negara sudah menempa sejarah dengan memastikan kelayakan beraksi buat kali pertama dalam saingan Separuh Akhir Liga Dunia -- sudah pasti peluang itu mahu digunakan dengan sebaik mungkin.

Malaysia bakal terbang ke Belgium pada 12 Jun depan, dan akan beraksi selaku pasukan di ranking tercorot dalam kelompok 10 pasukan yang bertanding di Belgium mahupun Afrika Selatan.

"Semua pihak di Malaysia, termasuk KHM (Konfederasi Hoki Malaysia ) juga tidak menaruh harapan tinggi terhadap kami kerana untuk mengutip satu kemenangan juga amat sukar.

"Bagaimanapun, kami akan tetap cuba mencuri satu kemenangan, sekali gus layak ke Piala Dunia," kata Dhaarma.

Tempoh tiga minggu dalam Jelajah Eropah bulan lalu banyak memberi pengajaran buat anak buah Dhaarma, yang nampaknya perlu bekerja lebih keras untuk mencipta satu lagi sejarah baru di Belgium nanti.

Malaysia hanya memerlukan satu kemenangan untuk memastikan penyertaan mereka di pentas Piala Dunia tahun hadapan.

"Peluang untuk kami layak memang kecil tetapi jika pemain mempamerkan peningkatan seperti sebelum ini, saya yakin kami mampu mencipta kejutan ketika berdepan Belgium dan Sepanyol," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video