HOKI
LHWM: TLHT benam cabaran PKS Uniten
TLHT 3 PKS UNITEN 2
Pendahulu Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM), Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), terus gah di persada liga selepas mengatasi Pusat Kecemerlangan Sukan Universiti Tenaga Nasional (PKS Uniten) 3-2 di Kuala Terengganu, petang tadi.
Tonggak import kelahiran India, Jaspreet Kaur, meletakkan TLHT satu gol di depan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-13, namun kedudukan itu tidak kekal lama.
Iklan
Pasukan pelawat bimbingan Lailin Abu Hassan itu menyamakan kedudukan hanya dua minit kemudian apabila Hanis Nadiah Onn menguis masuk bola berpunca daripada pukulan sudut penalti.
TLHT hampir mendahului buat kali kedua, namun usaha Domashneva Vera (m-16) diselamatkan penjaga gol manakala pukulan Manmeet Kaur (m-19) tersasar ke sebelah tepi.
Keghairahan tuan rumah menyerang dihukum PKS Uniten apabila Sasya Rifqah Sanip menyambar hantaran Hanis Nadiah pada minit ke-28 untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Tersentak dengan jaringan itu, TLHT menggandakan serangan pada suku ketiga yang menyaksikan percubaan Wan Norfaiezah Md Saiuti (m-36) dan Auni Athika Gahni (m-43) gagal menerjah jaring.
Asakan bertali arus tuan rumah membuahkan hasil selepas Nur Syafiqah Mohd Zain menjaringkan gol padang pada minit ke-48 sebelum Jaspreet mencetak gol kedua peribadi dan ketiga TLHT melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-53.
"Persembahan ini bukan corak terbaik kami, malah beberapa pemain juga beraksi di bawah tahap sebenar.
"Bukan mudah untuk menang enam kali berturut-turut dan perlawanan akan datang pasti lebih sukar," kata jurulatih TLHT, Iman Gobinathan.
Must-Watch Video