HOKI
LHRM 2019: Lima pasukan langkah kanan
Saingan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2019 secara rasminya membuka tirai hari ini dengan kesemua 14 pasukan bagi divisyen satu kategori lelaki turun berentap di venue yang berbeza.
Lima pasukan berjaya memastikan tiga mata pertama menjadi miliki mereka selepas SSTMI Thunderbolt, AHP-MSP Thunderbolt, Anderson Thunderbolt, SSMS Resilient dan MBPJ Tigers membenam cabaran lawan masing-masing.
Juara tahun lalu, SSTMI Thunderbolt, yang bertandang ke Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bertemu BJSS Thunderbolt, menampilkan satu perlawanan yang cukup hebat apabila menundukkan lawan mereka 6-2.
Iklan
Tersentak dengan jaringan awal pasukan tuan rumah menerusi gol pukulan sudut penalti Muhammad Amirul Hanif Mamat seawal minit ketiga, SSTMI Thunderbolt kembali mengikat kedudukan dalam suku pertama menerusi jaringan padang Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul pada minit kesembilan.
Dua minit selepas suku kedua bermula, SSTMI Thunderbolt memastikan mereka di depan apabila Shamir Rizmi Shamsul menjaringkan gol kedua peribadinya sebelum Muhamad Faris Harizan dan Muhajir Abdu Rauf memastikan aksi separuh masa pertama ditutup 4-1.
Tiga minit sebelum aksi sebenar berakhir, BJSS Thunderbolt cuba mengejar kedudukan pasukan pelawat apabila Amirul Hanif Mamat sekali lagi menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti untuk kedudukan berubah 2-4.
Bagaimanapun, kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila SSTMI Thunderbolt menambah dua lagi gol dan kali ini menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Amirul Hamizan Azahar pada minit ke-58 dan seminit kemudian, Muhamad Hafizz Fikri Zali melengkapkan kemenangan 6-2 hasil gerakan padang.
Pendatang baru, iaitu pasukan teratas ketika aksi kalah mati baru-baru ini, MSNT-PHT-MSST, bermula dengan langkah kiri apabila tewas 0-3 kepada Anderson Thunderbolt di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Anderson Thunderbolt meledak tiga gol menerusi gerakan padang oleh Aman Shahnan Maznan, Mohamad Syazwan Syafiq Basir dan Akram Hakkam Jamaluddin, masing-masing pada minit ketujuh, 17 dan 39.
Sementara itu, pertembungan dua pasukan Sabah, Sabah JR (PHS/SHA-SSMS) dan SSMS Resilient, menyaksikan SSMS Resilient tidak berdepan masalah untuk membawa pulang tiga mata pertama selepas membenam cabaran lawan mereka 3-0 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Aksi di antara AHP-MSP Thunderbolt dan SMKDBL–UNIKL-PHJ-MSNJ pula berlangsung sengit apabila tuan rumah hampir diikat pelawat tetapi kebangkitan saat-saat akhir menghadiahkan kemenangan 2-1 kepada AHP-MSP Thunderbolt.
Tuan rumah membuka tirai jaringan dalam suku kedua menerusi jaringan padang Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini.
Bagaimanapun, pasukan pelawat cuba mengejar kedudukan menerusi gol pukulan sudut penalti Muhammad Haridzmi Shah Muhd Nizam pada minit ke-47. Namun, kelebihan pukulan sudut penalti AHP-MSP Thunderbolt, seminit sebelum perlawanan sebenar berakhir menghadiahkan tiga mata buat mereka apabila Shafiq Ikhmal Daniel sekali lagi muncul selaku penjaring.
Dalam pada itu, pertemuan di antara BJSS JR 2022 dan SSTMI Junior serta KL-Wipers dan MSSPP-PSHA ditunda ekoran hujan lebat dan perlawanan akan dimainkan semula pada masa dan tarikh baru yang akan ditetapkan kelak.
Satu lagi perlawanan hari ini menyaksikan MBPJ Tigers yang berkunjung ke Kangar tidak pulang dengan tangan kosong apabila cemerlang menundukkan pasukan tuan rumah, MSN/SSN PHPs Young Lion, 5-0.
Keputusan perlawanan:
SABAH JR (PHS/SHA-SSMS) 3 SSMS RESILIENT 0
MSN/SSN PHPs YOUNG LION 0 MBPJ TIGERS 5
AHP-MSP THUNDERBOLT 2 SMKDBL –UNIKL-PHJ-MSNJ 1
ANDERSON THUNDERBOLT 3 MSNT-PHT-MSST 0
BJSS THUNDERBOLT 2 SSTMI THUNDERBOLT 6
Must-Watch Video



