Skip to main content

Hoki

LHM: TNB menang besar

tnb-lhm.jpg
TNB 11 THUNDERBOLTS 2

TNB bangkit daripada kekecewaan tewas kepada UniKL kelmarin dengan membelasah TNB Thunderbolts 11-2 dalam perlawanan Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.


Memasuki pusingan kedua liga, TNB tiada pilihan selain mencatat kemenangan besar dalam perlawanan itu seandainya mahu meneruskan tekanan ke atas pendahulu, UniKL.

Pemain kebangsaan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, membuka jaringan pada minit kelima menerusi gol padang sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook meledakkan hatrik.

Muhammad Arif Syafie Ishak dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, masing-masing menyumbangkan dua gol lagi manakala Muhammad Muhibuddin Moharam dan Nasrul Syahkhir Sadikul menjadi penjaring gol sagu hati Thunderbolts.

Dengan kemenangan itu, TNB mengumpulkan 19 mata daripada lapan perlawanan tetapi kekal ketinggalan lima mata di belakang UniKL, yang menewaskan THT 2-0 di Kuala Terengganu.

"Kemenangan ini membangkitkan semula semangat kami selepas dikecewakan UniKL," kata ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

"Kali ini, pemain memanfaatkan peluang dengan sepenuhnya bagi mendapatkan jaringan, yang sebelum ini sedikit mengecewakan kami."

Dalam satu lagi perlawanan, Nurinsafi-Kedah meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan UiTM 4-2.

Bagaimanapun, pasukan itu ketinggalan seawal minit pertama gara-gara sentuhan bintang UiTM, Miyu Tanimitsu.

Nurinsafi kemudian mempamerkan kebangkitan, bermula dengan gol Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi pada minit ke-17 dan disusuli dengan dua jaringan Muhammad Azfar Yaqoob.

Mohd Norhafizie Jamil Azomi melengkapkan kemenangan itu menerusi gol padang pada 10 minit terakhir.

Perlawanan lain menyaksikan Maybank memperoleh kemenangan kelima musim ini dengan mengatasi Hockademy KL 3-2.




Editor: Muzaffar Musa
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found