HOKI
LHM: Thunderbolts nyaris malukan THT
THT 3 TNB THUNDERBOLTS 2
Jaringan Jang Jonghyun lima minit sebelum tamat menyelamatkan maruah Pasukan Hoki Terengganu (THT) daripada dimalukan TNB Thunderbolts sebelum menang 3-2 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) petang tadi.
Beraksi tanpa jurulatih, Dhaarma Raj Abdullah, di tepi padang gara-gara penggantungan, THT hampir diperangkap kepantasan pihak lawan yang berada di kedudukan tercorot.
Iklan
Beraksi di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, tuan rumah dikejutkan gol pembukaan Thunderbolts hasil pukulan sudut penalti Fahmi Khalid pada minit ke-13.
THT kemudian turut mendapat dua pukulan sudut penalti yang menyaksikan usaha pertama Jonghyun diselamatkan kaki penjaga gol sebelum percubaan keduanya menerjah jaring.
Dengan kedudukan terikat 1-1, Thunderbolts sebaliknya lebih mencemaskan benteng tuan rumah sehingga pengadil melayangkan kad kuning kepada Jung Manjae pada minit ke-22.
Dua minit kemudian, berpunca daripada hantaran adiknya, Fitri, Faizal Saari bijak meloloskan diri daripada kawalan dua pemain Thunderbolts untuk tenang menewaskan Hamiz Mohd Ahir.
Memasuki suku ketiga, Thunderbolts cuba menyamakan kedudukan dan berhasil memperoleh penalti strok pada minit ke-42 selepas Muhibuddin Moharam dikasari.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Fahmi yang menjaringkan gol kedua peribadi dan pasukannya untuk menjadikan kedudukan 2-2 menuju penghujung aksi.
THT yang enggan dimalukan akhirnya mencipta gol ketiga dan kemenangan menerusi pukulan sudut penalti Jonghyun pada minit ke-55.
Biarpun memiliki beberapa peluang selepas itu daripada Fitri, Muhammad Umar Bhutta dan Faizal, THT terpaksa berpuas hati dengan kemenangan tipis 3-2.
Kredit foto: Pasukan Hoki Terengganu (THT)
Editor: Ammar Hakim
Must-Watch Video