Skip to main content

Hoki

LHM: THT gagal sekat UniKL

unikl-tht.jpg
THT 0 UNIKL 2

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) semakin menghampiri kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM) selepas mengalahkan pasukan di tangga ketiga, Pasukan Hoki Terengganu (THT), 2-0 di Kuala Terengganu hari ini.


Jaringan tonggak kebangsaan, Razie Abdul Rahim, serta Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin dalam babak kedua sudah cukup untuk memberikan skuad kendalian Arul Selvaraj itu kemenangan kelapan berturut-turut.

Turun selaku juara bertahan, UniKL tidak menunggu lama untuk menguji kubu tuan rumah menerusi pukulan sudut penalti Razie pada minit keempat, yang diselamatkan penjaga gol.

THT kemudian memperoleh dua pukulan sudut penalti pada minit ke-12, namun gagal disudahkan oleh Jang Jonghyun dan Jung Manjae.

Penyerang kebangsaan, Faizal Saari, turut tidak bernasib baik apabila pukulan derasnya sekadar terkena tepi jaring UniKL pada minit ke-18.

Tiga minit selepas bersambung babak kedua, pelawat memecahkan kebuntuan hasil pukulan sudut penalti Razie.

Peluang terbaik THT untuk menyamakan kedudukan tiba melalui pukulan kencang jarak dekat oleh Shahrun Nabil Abdullah (m-37), yang ditepis penjaga gol terbaik dunia, David Harte.

THT membuat gerakan dalam suku keempat, namun segalanya serba tidak menjadi buat anak buah Dhaarma Raj Abdullah itu sehingga mereka dibolosi lagi pada minit ke-59.

Berpunca daripada gerakan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dari sebelah kanan, Izwan mudah menjaringkan gol padang untuk memberikan tiga mata penuh buat UniKL.

"Kami masih belum berasa selesa buat masa ini dan saya tidak mahu pemain mengambil mudah," kata Arul.

"Apapun, pengalaman serta ketenangan kami banyak membantu dalam menyerap tekanan dan mematahkan serangan lawan."

*Kredit foto: Pasukan Hoki Terengganu (THT)



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found