Skip to main content

Hoki

LHM: Sukri mahu julang trofi lebih awal

sukri.jpg
Susulan kejayaan mengatasi Kedah/Nurinsafi HT 9-1, sekali gus mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM), pertahanan skuad Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Sukri Mutalib, memohon Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyerahkan trofi liga Ahad ini.

Skuad The Young Guns sah mempertahankan trofi itu walaupun saingan berbaki dua perlawanan selepas mencatat kemenangan ke-12 berturut-turut dalam aksi di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, petang tadi.

Kebiasaannya, KHM akan menyerahkan semua trofi selepas final Piala TNB, sekali gus dilihat menenggelamkan prestij piala liga.

Justeru, UniKL memohon KHM menyerahkan trofi itu selepas aksi terakhir liga di Bukit Jalil, Ahad ini.

"Itu di luar kawalan kami sebagai pemain tetapi jauh di sudut hati, bagus juga jika trofi itu diberikan awal. Namun, sebagai pemain, saya tidak dapat lakukan apa-apa, itu di luar kawalan kami," katanya.

Dalam aksi petang tadi, UniKL mencatat kemenangan susulan hatrik pertahanan, Razie Rahim, dan dua ledakan daripada Roel Bovendeert, sambil empat lagi empat lagi gol dijaringkan kapten, Muhammad Marhan Abd Jalil, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, Ashran Hamsani dan Fahid Farhad tatkala jaringan sagu hati lawan diraih menerusi Ismail Abu.

"Saya gembira daripada segi matlamat. Tugasan pertama sudah tercapai, bergelar juara. Seperti saya katakan sebelum ini, menang Piala Sumbangsih adalah satu bonus. Sasaran kami seterusnya adalah Piala TNB," ujar pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

Sementara itu, Presiden UniKL, Profesor Datuk Mazliham Mohd Su'ud, menegaskan piala liga patut diraikan bersama peminat selepas mereka mengharungi musim yang cukup mencabar.

Ia sebagai menghargai pengorbanan pemain, jurulatih dan pegawai yang bertungkus-lumus untuk memastikan UniKL bergelar juara liga buat dua musim berturut-turut.

"Kalau disamakan dengan perlawanan terakhir, mungkin kemeriahan itu lebih tertumpu kepada piala keseluruhan. Kalau boleh, KHM dapat pertimbangkan agar kejuaraan liga dapat diberikan di stadium, lebih-lebih lagi di laman sendiri," katanya.

"Saya harap penyerahan trofi itu dapat diberikan awal kerana warga UniKL berkobar-kobar untuk menerimanya," tambah Presiden Jawatankuasa Eksekutif Wakil Pelajar UniKL, Ali Haniffah Amran.




Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found