Skip to main content

Hoki

LHM: Sarjit gembira impak Peillat

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sarjit-singh.jpg
Pengendali Pasukan Hoki Terengganu (THT), Sarjit Singh, mengakui masih perlu memperkemaskan rentak skuad bimbingannya bagi terus memberikan saingan dalam Liga Hoki Malaysia (LHM).

Kemenangan 6-2 ke atas TNB Thunderbolts malam tadi disifatkan belum menggambarkan kekuatan sebenar THT, sebaliknya melihat beberapa kelemahan yang harus segera diperbaiki mereka.

Walaupun puas hati dengan sumbangan Gonzalo Peillat yang meledak hatrik, Sarjit mendapati pemain-pemainnya masih bergelut untuk menjaringkan gol menerusi jaringan padang.

“Persembahan THT semakin baik dan saya gembira dengan hatrik pertama Peillat. Diharapkan dia terus menjadi pencetak gol buat pasukan ini.

“Peluang menerusi pukulan sudut penalti sudah mula dimanfaatkan, namun kami memerlukan lebih banyak gol melalui jaringan padang,” kata Sarjit.

Sementara itu, jurulatih TNB Thunderbolts, Muhamad Amin Rahim, memuji tentangan yang diberikan anak-anak buahnya sambil bersikap realistik terhadap keputusan perlawanan malam tadi.

Bagi Amin, mereka beraksi dengan berdisiplin, terutama pada suku pertama, malah terlebih dahulu mendahului pasukan lawan.

“Kami akan memperbaiki situasi bertahan ketika pukulan sudut penalti serta gerakan serangan untuk menembusi kubu lawan.

“Tiga aksi akan datang juga sangat sukar dan pemain-pemain harus mengurangkan kesilapan sekiranya mahu mengutip mata berharga,” ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video