Skip to main content

Hoki

LHM: Masa yang sesuai untuk jumpa UniKL -- Dhaarma

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

img_5434.jpeg
Jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), Dhaarma Raj Abdullah, melaungkan kesediaan menerima kunjungan pasukan teratas, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dalam perlawanan Liga Hoki Malaysia (LHM) esok.

Menurut bekas pengendali skuad wanita negara itu, UniKL perlu berasa bimbang berdepan pasukannya yang disifatkan berada dalam prestasi terbaik selepas tamat pusingan pertama.

Dhaarma berkata rentak serta persefahaman THT juga jauh lebih meningkat berbanding aksi pembukaan ketika mereka tumpas 2-3 kepada lawan sama di tempat lawan.

Malah, kelebihan beraksi di Stadium Hoki Batu Buruk itu turut dijadikan modal untuk THT meleburkan rekod tanpa kalah anak-anak buah Arul Selvaraj berkenaan.

"Permainan kami jauh lebih bagus berbanding Piala Sumbangsih yang lalu, itu sebabnya Ahad (esok) adalah masa yang sesuai untuk melawan UniKL.

"Hanya rentak kemenangan dapat mengubah situasi liga dan saya positif THT mampu menjuarai liga dengan baki tujuh perlawanan," jelas Dhaarma.

THT berpeluang naik ke tangga kedua sekiranya menang selain mengharapkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) keciciran mata berdepan TNB Thunderbolts dalam aksi berasingan.

Memasuki perlawanan kelapan, THT kini mengutip 15 mata, satu mata di belakang TNB manakala UniKL masih unggul dengan tujuh kemenangan berturut-turut.

"Saya beritahu pemain-pemain bahawa semua pasukan akan keciciran mata. Jadi, kami perlu kekal fokus.

"THT mahu jadi pasukan pertama mencuri mata daripada UniKL musim ini," tambah jurulatih berpengalaman itu.



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video