HOKI
LHM: Dhaarma kecewa aksi pengadil, cadang guna video rujukan
Jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), Dhaarma Raj Abdullah, mahu video rujukan pengadil (video referral) segera diperkenalkan dalam Liga Hoki Malaysia (LHM).
Bercakap selepas tewas 0-2 kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) semalam, Dhaarma berkata teknologi itu sangat penting untuk menentukan ketepatan keputusan pegawai perlawanan.
Menurutnya, aksi tidak konsisten pengadil juga sudah kerap kali menjatuhkan moral mereka, sekali gus menjejaskan peluang kemenangan THT.
Iklan
Justeru, katanya, sudah tiba masa Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menimbangkan keperluan video rujukan, terutama melibatkan aksi tumpuan saingan liga tempatan.
"Apabila berlaku keputusan yang tidak tepat, tiada cara lain menentukannya selain disahkan daripada video rujukan sendiri.
"Dalam perlawanan Sumbangsih yang lalu, pengadil membuatkan pemain-pemain saya hilang fokus dan situasi itu berulang lagi," ujarnya.
THT gagal menyekat kemaraan UniKL selepas pukulan sudut penalti Razie Rahim dan gol padang Izwan Firdaus Tajuddin memastikan kemenangan anak-anak buah Arul Selvaraj itu.
Kesan daripada beberapa keputusan pengadil, THT mula melihatkan kemerosotan apabila gagal merencana gerakan ke arah pintu gol lawan selain hantaran yang tidak menjadi.
"Pengadil tiba-tiba melayangkan kad hijau kepada pemain saya di saat kami sedang melakukan serangan.
"Saya belum pernah tengok pemain dapat kad hijau ketika membawa bola.
"Dengan ketinggalan jaringan selain 'gelagat' pengadil, memang sukar buat THT," tambah jurulatih berpengalaman itu.
Editor: Ammar Hakim
Must-Watch Video