Skip to main content

Sukan Lain

Lebih 400 dijangka sertai Merdeka Run De Sahabat 2017

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

img-20170521-wa0008.jpg
Lebih 400 peserta dari seluruh Sabah dijangka menyertai program larian ‘Merdeka Run De Sahabat 2017’ yang akan berlangsung di perkarangan Dewan Semai Bakti Sahabat 3 Desa Kencana, 10 September depan.

Ketua penyelarasnya,  Yandy Merika, berkata program kali kedua  itu adalah bagi menyerikan sambutan Hari Kemerdekaan 2017 dan Hari Malaysia yang disambut setiap tahun.
  
“Program anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Sahabat 16, Lahad Datu ini membabitkan larian sejauh 10 kilometer dan melalui beberapa kawasan perkampungan di Felda Sahabat Desa Kencana.
  
“Selain itu, sebanyak enam kategori turut dipertandingkan dan dijangka kategori terbuka antarabangsa juga akan diperkenalkan jika mendapat sambutan ramai,” katanya ketika ditemui kelmarin.
  
Yandy berkata antara kategori dipertandingkan adalah lelaki dan perempuan terbuka 19 tahun keatas; lelaki dan perempuan remaja 12 tahun ke atas dan lelaki dan perempuan veteran 40 tahun ke atas.
  
“Antara objektif penganjuran larian ini adalah bagi mempromosikan Felda Sahabat sebagai tempat atau lokasi larian yang popular di Sabah," katanya.
  
Selain itu, katanya, program itu juga adalah bagi mencungkil bakat baru dalam acara larian jarak sederhana selain mengeratkan tali silaturahim antara pelari di Sabah.
  
Sementara itu, Yandy berkata program pelepasan peserta akan disempurnakan oleh Guru Besar SK Sahabat 16, Jannah Madullah, manakala penutupan disempurnakan Ketua Pergerakan Wanita Umno Silam, Mizma Apphedullah.
  
“Pendaftaran Merdeka Run De Sahabat  2017 ini sudah mula dilancarkan selepas Perasmian Sambutan Hari Guru Sk Sahabat 16 pada 16 Mei lalu.
  
“Bagi yang ingin mendaftar untuk menyertai bolehlah menghubungi talian 0198033390 (Yandy) atau 0198037599 (Saberi) dan tarikh tutup pendaftaran adalah pada 1 Julai ini,” katanya.
  
Pemenang larian akan menerima hadiah wang tunai RM1,000 (johan); naib johan (RM700), ketiga (RM500) dan tempat keempat hingga ke-10 masing-masing menerima RM100.
  
Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengerusi Penganjur, Sumidi Sumardi, berkata pihaknya juga ingin memaklumkan orang ramai bahawa Felda Sahabat sebuah lokasi yang aman dan damai.
  
"Justeru, bagi pihak penganjur, kami mempelawa semua penggemar sukan larian untuk turut serta dalam program larian ini," katanya.

Advertisement

Must Watch Video