Skip to main content

Sukan Asia

Lawan pedang: Penampilan sulung beri pengajaran buat Tyanne

tyanne.jpg
Atlet lawan pedang negara, Tyanne Fong, mengakui rasa gemuruh membuatkan penampilan pertamanya dalam Sukan Asia bagi acara foil wanita individu berakhir hampa.

Ternyata, Malaysia masih berada jauh untuk meraih prestasi hebat di peringkat Asia.

Selepas hambar pada hari pertama, skuad negara terus berputih mata apabila kali ini Tyanne gagal untuk mencatat sebarang kejutan dalam aksi foil individu wanita.

Tyanne tampak sukar mengawal gemuruh walaupun lawan yang ditemui bukan kali pertama sehingga mencetuskan beberapa kesilapan yang berpunca daripada diri sendiri, seolah-olah membuka ruang buat  lawan mengatasi kutipan mata dalam tempoh tiga minit bagi setiap pertembungan.

"Saya berasa sedikit gemuruh kerana tampil kali pertama dalam Sukan Asia tetapi saya cuba mempersiapkan diri daripada segi mental dan bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja.

"Saya juga cuba untuk berwaspada dalam setiap gerakan," katanya.

Lima aksi dalam kelompok 32 pool 4 turut menampilkan Indonesia, Singapura, Jepun, Filipina dan China tetapi Malaysia jelas gagal menyerlah.

"Saya rasa lawan mempertaruhkan aksi sama kerana saya asyik melakukan kesilapan yang berulang. Jadi, mungkin mereka dapat mengesannya.

"Saya juga terikut-ikut dengan rentak lawan sehingga menyebabkan mereka menjadi lebih selesa."

Advertisement

Must Watch Video