Pemenang dua pingat emas Sukan Paralimpik, Datuk Abdul Latif Romly, meletakkan Kejohanan Olahraga Para Dunia di Paris, Julai depan, sebagai sasaran terbesar 2023.
Bagaimanapun, buat masa terdekat juara lompat jauh temasya di Rio pada 2016 dan Tokyo 2020 itu ingin melayakkan diri ke Sukan SEA Kemboja.
Latif melakukan lompatan 7.58 meter dalam Kejohanan Innotex di Bukit Jalil, bulan lalu, kurang 0.03m daripada jarak kelayakan untuk ke Sukan SEA.
"Tahun ini Kejohanan Dunia menjadi sasaran saya.
"Lagipun Sukan Para Asia di China pada tahun ini belum pasti dianjurkan kerana penularan COVID-19 di sana.
"Saya mahu merampas semula gelaran yang terlepas pada 2019," katanya.
Atlet dari Perlis itu merakam lompatan 7.24 meter di kejohanan di Dubai untuk terlepas gelaran kepada juara dari Belanda, Ranki Oberoi (7.39m).
Latif baru saja memulakan latihan dua minggu lalu selepas berehat selama tiga minggu.
DIa sempat melangsungkan perkahwinan dengan rakan lama dari zaman persekolahan di Perlis.
Sebelum Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan, Latif akan menyertai Grand Prix (GP) Oahraga Para Dunia siri pertama di Tunisia.
Shaiful Shamsudin
Sat Jan 07 2023