Skip to main content

Sukan Lain

Lapan kerusi kepimpinan KRM jadi rebutan

krm1.jpg
Persaingan satu lawan satu buat penyandang presiden, Datuk Shahrul Zaman Yahya, akan diserahkan kepada ahli majlis untuk menentukan hala tuju Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bagi penggal baru badan induk itu menjelang mesyuarat agung tahunan 13 Julai depan.

Sebanyak lapan kerusi bakal menjadi rebutan dengan empat jawatan dalam bahagian ahli majlis, dua jawatan untuk naib presiden dan masing masing satu jawatan untuk timbalan dan presiden KRM.

Sebagai presiden, Shahrul Zaman bakal dicabar Presiden Ragbi Kedah, Tan Sri Abdul Halim Karim, yang pernah menyandang jawatan timbalan presiden dalam KRM penggal lalu.

Pemilihan pada 2016 menyaksikan Shahrul Zaman ketika itu menewaskan Datuk Amiruddin Embi dari Kedah untuk menerajui KRM buat kali pertama dengan kemenangan 19 berbalas 17 undi.

"KRM meraikan proses demokrasi dan kami berharap proses pemilihan akan dilalui dengan sebaik mungkin, penuh dengan suasana kekeluargaan," kata Shahrul Zaman.

Kesemua 36 perwakilan dalam KRM bebas untuk menentukan sama ada mahu mengekalkannya ataupun memilih individu lain menerajui KRM.

"Kami akan menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak perwakilan untuk melakukan pemilihan bagi membawa KRM ke tahap yang lebih baik."

Sementara itu, perebutan jawatan timbalan presiden juga menemukan saingan satu lawan satu di antara Presiden Kesatuan Ragbi Kelantan, Datuk Tamunif Mokhtar, yang menentang pengurus skuad ragbi 15s negara, Amir Amri Mohammad, setelah penyandang, Velayuthan Tan, memutuskan tidak akan bertanding.

Tamunif sebelum ini pernah menjawat jawatan bendahari badan induk itu, namun meletakkan jawatan hanya selepas lima bulan bertugas.

"KRM akan membuat pilihan yang terbaik untuk mendapatkan timbalan presiden yang terbaik untuk persatuan," kata Tamunif.
 

Advertisement

Must Watch Video