Skip to main content

Sukan Lain

Komitmen tinggi kunci kejayaan skuad ragbi B-18

ragbi.jpg
Komitmen tinggi dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pemain merupakan kunci kejayaan skuad B-18 negara mempertahankan gelaran juara Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah (7s) Asia, Ahad lalu.

Ketua jurulatih, Wan Norsyahmi Wan Daud, berkata pemain beraksi cemerlang dan bangkit semula selepas ketinggalan 0-10 dalam separuh masa pertama bagi mencatatkan kemenangan 14-10 ke atas tuan rumah, China, di Kunming.

"Apabila ketinggalan, kami melakukan pertukaran taktikal dalam barisan utama dan ia terbukti berjaya. Pemain bermain dengan bersungguh-sungguh dan bersemangat tinggi untuk memastikan kejayaan menjadi milik Malaysia,” katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang, hari ini.

Terdahulu, ketibaan mereka disambut  Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, dan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Wan Norsyahmi turut menyambut baik pengumuman Syed Saddiq bahawa skuad berkenaan akan menerima ganjaran berbentuk program pembangunan untuk latihan dan penyertaan dalam lebih banyak kejohanan. 

Sementara itu, kapten pasukan, Muhamad Faiq Aslah Mohd Satar, berkata saingan kali ini sebagai juara bertahan lebih sukar berbanding tahun lalu apabila Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan itu.

"Pada tahun ini, hanya tiga pemain daripada skuad tahun lalu kekal manakala sembilan lagi pemain merupakan pemain baru yang dipilih menerusi kejohanan-kejohanan tempatan. Ditambah dengan negara lain yang menghantar pasukan yang kuat, terutama China, cabaran yang dihadapi memang sengit.

"Semua pemain dalam pasukan ini berbakat dan memberi komitmen serta kerjasama yang tinggi. Saya berharap supaya kami tidak berpecah dan terus membantu negara meningkatkan sukan ragbi," katanya.

-- BERNAMA

Kredit foto: Kosmo

Advertisement

Must Watch Video