Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

KOM bincang semula latihan atlet di luar negara

irfan-shamsuddin.jpg
Atlet lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin, berhadapan risiko ditarik balik keistimewaan berlatih di luar negara susulan aksi buruk dalam Kejohanan Olahraga Trek dan Padang Asia (ATF), bulan lalu.

Kejohanan di Doha, Qatar itu menyaksikan Irfan tersingkir awal selepas hanya membuat tiga lontaran untuk menduduki tempat kesembilan dengan catatan 55.18 meter.

Langkah itu dianggap tidak memadai selepas Irfan menuntut untuk berlatih di Prague, Republik Czech, namun gagal mempamerkan prestasi terbaik.

Dalam masa sama, terdapat atlet seperti Lee Hup Wei yang berlatih sepenuh masa di Bukit Jalil tetap masih mampu mendapatkan keputusan cemerlang apabila menamatkan saingan di tangga keempat.

"Sebelum ke Kejohanan Asia, Majlis Sukan Negara (MSN), Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Irfan telah mencapai persetujuan mengenai sasaran yang perlu dilakukannya. 

"Kami akan berbincang dengan jurulatih dan persatuan tentang keperluan untuk menghantarnya menjalani latihan di luar negara lagi selepas ini," kata Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

Tambahnya, MSN akan berbincang dengan KOM bagi menentukan keperluan Irfan dan juga atlet lain untuk berlatih di luar negara.

"Kami sepatutnya membincangkan perkara ini dalam mesyuarat jawatankuasa kerja olahraga, pagi tadi, tetapi atas sebab-sebab tertentu, ia terpaksa dibatalkan. 

"Kami mahu berbincang mengenai keperluan latihannya di luar negara," jelasnya. 

 

Advertisement

Must Watch Video