SUKAN LAIN
Kimberly terlepas Kejohanan Dunia
Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan penerjun muda negara, Kimberly Bong, terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia 2019 ekoran kecederaan bahu, sekali gus meninggalkan gandingannya, Pandelela Rinong, dalam acara 10m platform terjun seirama.
Kimberly terpaksa menarik diri ekoran kecederaan itu ketika berlatih di China, dengan penerjun kelahiran Sarawak itu akan dibawa pulang ke Malaysia untuk menjalani rawatan di Institut Sukan Negara (ISN), lantas gagal membentuk gandingan bersama Pandelela.
Situasi itu merupakan tamparan hebat kepada skuad negara susulan prestasi tidak konsisten ketika Pandelela bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri sementara gandingan asal Pandelela, Cheong Jun Hoong, yang juga bekas juara dunia 2017, berehat panjang ekoran pembedahan lutut.
Iklan
"Buat masa ini, Kimberly menjalani proses pemulihan di ISN dan kami berharap setiap pelan yang telah ditetapkan akan membantunya segera berada di tahap terbaik," kata Setiausaha Agung ASUM, Mae Chen.
Gandingan Kimberly-Pandelela juga sepatutnya menggalas tugas selaku prospek pingat Kejohanan Dunia dan merupakan perancangan awal jurulatih negara, Christian Brooker, untuk memburu pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Apa yang telah diberitahu oleh jurulatih kepada saya adalah Pandelela dan Leong Mun Yee merupakan gandingan utama dan Dhabitah adalah penerjun sandaran."
Must-Watch Video