Skip to main content

Sukan Lain

Khairy, MSN, ISN, PKBM bakal bincang isu latihan di Melbourne

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

khairy-jamaluddin_1.jpg
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, akan berbincang dengan Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengenai nasib program latihan di Melbourne, Australia, untuk dipindahkan ke Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan.

Perbincangan dengan semua pihak perlu diadakan selepas PKBM mencadangkan penutupan program latihan tersebut.

Semalam, juara dunia keirin, Azizulhasni Awang, meluahkan kata tidak setuju dengan cadangan PKBM ekoran melihat program latihan itu penting dalam mempersiapkan atlet berbasikal menghadapi lawan berkelas dunia.

Khairy mengakui kos program di Melbourne sejak 2006 adalah antara yang paling mahal biarpun berjaya mencipta pelbagai kejayaan besar.

Jadi, perbincangan mendalam perlu diadakan kerana keputusan ini akan menentukan hala tuju sukan basikal trek, terutama menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya sedang membincangkan perkara ini bersama MSN, ISN dan (jurulatih) John Beasley. Apakah perancangan kita untuk masa depan?

"Saya ada di velodrom semalam untuk melihat keadaan selepas penyerahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR). Saya juga dah mula perbincangan dengan skuad pembangunan bagaimana untuk mengguna pakai velodrom itu nanti. 

"Kami akan umum keputusan pada masa akan datang," ujar Khairy.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan 20,000 peserta akan menyertai Larian Sukan SEA yang akan diadakan sejam selepas acara maraton di Kompleks Perbadanan Putrajaya, 19 Ogos depan.

Program itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia menjadi sebahagian daripada temasya berkenaan, sekali gus menepati tema "Bangkit Bersama".

"Pada hari perasmian, pagi kita ada larian dan malam akan ada upacara perasmian. Kita mahu tunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia akan turun.

"Ini sangat selari dengan tema kita, iaitu Bangkit Bersama," tambah Khairy.

Larian Sukan SEA terbuka kepada rakyat Malaysia dan warga asing, terbahagi kepada dua kategori iaitu 15km serta 5km.

Kategori 15km terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas dengan yuran penyertaan RM60.

Selepas tamat larian, 20 ribu peserta akan berkumpul di garisan penamat maraton Sukan SEA untuk memberi sokongan kepada pelari negara buru pingat emas.

Pendaftaran akan ditutup pada 30 Jun depan. 

Advertisement

Must Watch Video