Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin, gagal menempatkan diri di kedudukan baik apabila bakal memulakan perlumbaan di Grand Prix (GP) Valencia di kedudukan ke-25 dan 30.
Khairul Idham mencatatkan masa 1 minit 40.163 saat -- ketinggalan 0.902 saat di belakang penunggang pasukan Estrella Galicia, Aron Canet, yang menamatkan sesi kelayakan sebagai pelumba terpantas Moto3.
Adam pula akan memulakan perlumbaan esok di petak ke-30 di kalangan 35 pelumba selepas mencatatkan masa 1 minit 40.957 saat.
Dalam aksi MotoGP, Jorge Lorenzo memanfaatkan kelebihan di Litar Ricardo Tormo itu untuk meraih petak hadapan dengan memecah rekod sesi kelayakan sebanyak tiga kali.
Penunggang pasukan Movistar Yamaha MotoGP tersebut muncul pelumba pertama yang mencatatkan masa 1 minit 29 saat.
Dia meningkatkan kepantasannya kepada 1 minit 29.613 saat sebelum melakar catatan baru, 1 minit 29.401 saat.
Juara yang baru ditabalkan, Marc Marquez, menyertai pencabarnya itu dalam lingkungan catatan masa 1 minit 29 saat, namun terpaksa berpuas hati untuk memulakan perlumbaan sebenar di tempat kedua sambil diekori Valentino Rossi selaku ketiga terpantas.
Shaiful Shamsudin
Sat Nov 12 2016