Skip to main content

Sukan Lain

Kesabaran akan bawa pulangan -- Maniam

maniam.jpg
Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) akur kesabaran akan membawa pulangan pada masa depan dengan meletakkan matlamat buat Ng Eain Yow dan S. Sivasangari sebagai pemain nombor satu negara. 

Persaraan Nafiizwan Adnan memaksa Eain Yow memainkan peranan sebagai pemain lelaki utama negara.

Bagaimanapun, status sebagai nombor satu Malaysia waktu ini tidak boleh menjadi penanda aras kemampuan ketika dia masih berada di luar kelompok 30 terbaik dunia.

Atas dasar itu, SRAM berpandangan tempoh satu hingga dua tahun akan menjadi waktu yang diperlukan Eain Yow bagi meneruskan legasi Nafiizwan serta Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee sebelumnya.

"Eain Yow merupakan salah seorang pemain yang memiliki masa depan yang cerah. Dia memiliki kualiti bergelar juara dan contoh terbaik kepada pemain-pemain muda yang lain," kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam.

Sementara itu, perubahan corak permainan Sivasangari disifatkan Maniam sebagai usaha yang akan membawa pulangan positif.

Dia yang berpangkalan di Amerika Syarikat gagal memenuhi aspirasi skuad negara untuk ke perlawanan penentuan Kejohanan Individu Asia apabila tersungkur dalam separuh akhir.

"Strategi yang kurang menjadi menyaksikan Sivasangari tewas dalam perlawanan tersebut. Buat masa ini, dia dalam proses meningkatkan kekuatan fizikal dan ia dapat dilihat menerusi keamatan yang dipamerkan dalam kejohanan yang lalu."

Advertisement

Must Watch Video