Skip to main content

Sukan Lain

Kerajaan sentiasa hargai jasa, pengorbanan Saravanan harum nama negara

sara_1.jpg
Nasib yang menimpa bekas atlet jalan kaki negara, G.Saravanan yang kini terlantar di hospital akan terus dibela.

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli, pihak kerajaan sentiasa menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh Saravanan sepanjang penglibatanya dalam sukan tanah air.

Malah, perkara itu telahpun sampai ke pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut dijangkakan akan menziarahi Saravanan.

"Saya bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri baru selesai ziarah Saravanan, pemenang pingat emas acara jalan kaki Sukan Komanwel 1998, saya masih ingat ketika itu pingat itu yang menaikkan ranking negara.

"Beliau sumbangkan pingat kepada OCM untuk dijadikan inspirasi buat atlet muda. Dia ditimpa musibah hidapi penyakit yang sangat jarang," katanya.

Adam Adli dan Ahmad Farhan ditemui ketika menziarahi Saravanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya hari ini dimana sumbangan sebanyak RM10,000 dihulurkan kepada Saravanan.

Turut hadir ialah ahli lembaga pemegang amanah Yakeb, Dr.Ahmad Munawar Helmi Salim dan pengurus besar Yakeb, Zuhairi Abd Manaf.

Sementara itu, Saravanan terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri negara dan tidak menyangka kesudiannya untuk mengutuskan wakil bagi menziarahi bekas atlet itu.

"Saya terharu dan berterima kasih dengan kehadiran mereka, saya tidak sangka dengan kehadiran mereka. Terima kasih buat yang menyokong saya, saya tidak akan melupakannya." tambah Saravanan.

Advertisement

Must Watch Video