Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Keputusan Syakilla masih jadi tanda tanya

syakilla-salni.jpg
Kekal, ubah kategori atau tinggalkan skuad kebangsaan?

Itu persoalan menjelang sidang media jaguh karate negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan, di Bukit Jalil, esok selepas bergelut dengan masalah berat badan untuk menyertai acara kumite kategori 55 kilogram bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Syakilla akan mengadakan pertemuan dengan pegawai daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) selepas peluangnya untuk menyertai kategori 55kg hampir tertutup.

Ia selepas beratnya ketika ini hampir mencecah 68kg hingga terpaksa menarik diri daripada menyertai tiga Kejohanan K1, yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik sepanjang tahun ini.

Persoalan yang timbul ketika ini adalah adakah dia masih yakin untuk menurunkan berat badan sebanyak 13kg, beralih ke kategori lain atau mengambil keputusan lebih drastik untuk meninggalkan skuad kebangsaan?  

Semalam, ISN mendedahkan sedang mencari punca mengapa berat badan Syakilla sukar untuk diturunkan walaupun selepas mewujudkan program khas sejak Mac lalu.

Antara yang sedang dikaji adalah aspek pemakanan Syakilla.

"Kami faham atlet memerlukan masa untuk bersosial dengan kawan-kawan di luar," kata Pegawai Pemakanan ISN, Erliza Nur Kamarulzaman.

"Apabila terjadi perkara seperti itu, kami hanya boleh memberikan nasihat agar mereka menjaga pemakanan mereka ketika di luar.

"Kami akan memberikan panduan tentang pemilihan makanan yang lebih berkhasiat atau daripada segi kuantiti makanan.

"Kami akan memberikan nasihat dengan sebaik mungkin, namun ia bergantung kepada kejujuran atlet itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, masih memberikan peluang buat Syakilla walaupun masalah itu sudah berlarutan sejak tahun lalu.

Beliau mengarahkan MSN dan ISN untuk mengadakan pertemuan bagi menentukan nasib jaguh berusia 27 tahun itu, esok.

Ia kerana Syakilla masih berpeluang untuk ke Sukan Olimpik Tokyo sama ada dalam kategori bawah 61 atau atas 61kg selepas menghuni ranking ke-83 dunia dalam kategori 55kg.

"Kami baru mendapat maklum balas daripada ISN.

"Kami boleh duduk dan berunding dulu di antara semua pihak, termasuk Syakilla, ISN, MSN dan persatuan sukan yang terlibat untuk mencari jalan penyelesaian bersama," katanya.

Advertisement

Must Watch Video