SUKAN LAIN
Kemasukan sukan Dodgeball dalam Sukma perlu persetujuan setiap Majlis Sukan Negeri -- Hannah Yeoh
Perancangan untuk membawa masuk sukan dodgeball ke Sukan Malaysia (Sukma) perlu diteliti semula dengan mengambil berat terhadap persetujuan semua persatuan dari negeri-negeri yang menyertai temasya tersebut.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagaimanapun berbesar hati untuk bekerjasama dan membantu Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) dalam meningkatkan kualiti pemain dan sukan tersebut di Malaysia termasuk menganjurkan liga.
Hannah yang ditemui di Majlis Penutup Kejohanan Dodgeball Jemputan Asia Pasifik berbangga terhadap kejayaan persatuan dalam menganjurkan kejohanan antarabangsa, sekali gus dua dari tiga kategori dipertandingkan dimenangi oleh wakil negara.
Iklan
"Sukan untuk dipertandingkan dalam Sukma perlu dipersetujui oleh semua Majlis Sukan Negeri," katanya.
"Buat masa ini, kami masih belum mendapatkan cadangan untuk menyertakan sukan dodgeball untuk dibawa masuk ke dalam Sukma."
Susulan keterbukaan Kementerian Belia dan Sukan dalam membantu memperkembangkan skuad dodgeball, presiden MAD, Datuk Radha Krishnan, hanya memohon untuk diberi bantuan daripada segi kemudahan atlet dan kewangan terhadap liga yang bakal dianjurkan.
Bagaimanapun, sasaran utamanya adalah untuk membawa sukan dodgeball di Malaysia ke tahap tertinggi bermula dengan penyertaan di Sukma Sarawak tahun hadapan.
"Kita ada 500 perlawanan pada empat hari kejohanan (25-28 Mei) dan semua pasukan dari luar sangat gembira dan menyatakan bahawa mereka akan menyertai kejohanan ini lagi jika kita (MAD) anjurkan. Pada saya, kejayaan terbesar adalah pasukan lelaki (Malaysia) meraih kejayaan besar pada kejohanan kali ini," katanya.
Must-Watch Video