Skip to main content

Hoki

Kelayakan Sukan Olimpik 2020: Pemain patut kekal di Eropah -- Dhaarma

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

nuramirah-hoki.jpg
Penyerang skuad hoki wanita negara, Nuramirah Shakirah Zulkifli, muncul pemain terbaik ketika membantu kelabnya, Bremen HC, menjuarai Kejohanan Empat Penjuru, sekali gus membuktikan pemain negara patut kekal di Eropah menjelang playoff kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Nuramirah dinobatkan selaku pemain terbaik dengan mengatasi beberapa pemain handalan kelab Jerman dan Belanda.

Ia membuktikan pemain negara mampu bersaing dan secara tidak langsung menjadi petanda positif jika Malaysia layak ke playoff kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, November depan ekoran skuad Afrika Selatan dilanda masalah.

Pengendali skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, juga berpendapat pemain patut meneruskan cabaran bersama kelab masing-masing di Eropah.

"Saya mahu pemain (bimbingan saya) menjadi pemain berkualiti, maksud saya berkelas dunia. 

"Itulah sebab utama saya menghantar mereka ke Eropah dan (berhubung) Nuramirah diangkat sebagai pemain terbaik kejohanan, itu adalah satu pencapaian yang bagus," katanya.

Dua belas tonggak wanita negara, yang diketuai penjaga gol, Farah Ayuni Yahya, Hanis Nadiah Onn dan Juliani Din, kini beraksi di liga Jerman, Itali dan England manakala baki enam pemain lagi akan menyusul, minggu depan.

Sementara itu, Dhaarma turut mencadangkan supaya barisan jurulatih negara dihantar ke sana untuk memantau perkembangan pemain negara berbanding membawa mereka pulang ke tanah air untuk menghadapi aksi kelayakan playoff.

"(Saya bercadang menghantar) jurulatih, Lailin (Abu Hassan) ke Itali, saya pula ke Jerman manakala Roslan Jamaluddin ke England.

"Kami sudah mendapat persetujuan daripada kelab-kelab (di Eropah) demi bersama pemain-pemain negara," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video