Skip to main content

Tenis

Kejohanan Wimbledon: Kejutan Davis singkir Kerber

angeliquekerber.jpg
Hasrat Angelique Kerber untuk mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Tenis Wimbledon tidak kesampaian apabila tewas kepada Lauren Davis, yang mengatasi kecederaan buku lali sebelum mencatatkan kemenangan 2-6, 6-2, 6-1, awal pagi tadi.

Kerber berada dalam kelompok yang sama dengan Serena Williams dan pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty, namun tidak akan bertemu mana-mana bintang itu selepas kecundang di tangan pemain tidak ternama, Davis.

Pemain Amerika Syarikat (AS) itu, yang memakai balutan di lutut kiri dan bahu kanannya, terseliuh pergelangan kaki pada pertengahan set pertama, namun bangkit untuk memaparkan aksi luar biasa dalam dua set berikutnya.

Sebaliknya, juara grand slam tiga kali, Kerber, bergelut sepanjang permainan sebelum aksi sengit itu memihak Davis, yang akan bertemu Carla Suarez Navarro dalam pusingan ketiga.

Davis mengatasi pemain Jerman itu pada awal set pertama dengan mencipta peluang menerusi pukulan kilas deras sebelum pukulan balas Kerber sangkut di jaring.

Pukulan kilas itu sukar dikekang dalam game berikutnya, namun seperti perlawanan pusingan pertama, Kerber terus meraih mata untuk mendahului 3-2.

Davis kemudian tergelincir di depan jaring dan mengalami kecederaan buku lali sebelum Kerber memperoleh dua mata break berturut-turut untuk memenangi set pertama.

Davis dipanggil jurulatihnya untuk mendapatkan rawatan dan selepas menambah balutan di pergelangan kakinya, dia seakan-akan tidak terkesan dengan kecederaan itu apabila meraih mata pertama dalam set kedua.

Kedua-dua pemain berkejaran mata sebelum Davis mendahului 3-1 dan mengekalkan pendahuluan itu pada kedudukan 4-2.

Satu lagi mata break memastikan Davis ke set penentuan sebelum dia memulakan keghairahannya memanfaatkan setiap kesilapan Kerber untuk memenangi tiga lagi mata break dengan mudah dalam set berikutnya untuk meraih kemenangan.

Advertisement

Must Watch Video