Novak Djokovic mara ke pusingan kedua Kejohanan Tenis Wimbledon walaupun perlawanannya di Centre Court tertangguh atas sebab yang tidak masuk akal lewat malam tadi.

Juara bertahan empat kali itu menewaskan muka baru dari Argentina, Pedro Cachin, 6-3, 6-3, 7-6 tetapi perlawanan itu terpaksa ditangguhkan selama hampir sejam setengah selepas tamat set pertama kerana permukaan gelanggang yang lembap walaupun bumbungnya sudah ditutup.

Ketika perlawanan itu bersambung di bawah bumbung tertutup di Court One, Djokovic dan Cachin memilih untuk memeriksa permukaan gelanggang itu bersama pengadil, Gerry Amstrong, tetapi pemain nombor dua dunia itu jelas tidak gembira dengan keadaan gelanggang berkenaan.

Cabaran lebih sukar dijangka akan dihadapi Djokovic dalam pusingan kedua apabila dijadualkan bertemu pakar gelanggang rumput Australia, Jordan Thompson, tetapi juara bertahan itu kelihatan berada dalam keadaan terbaik untuk mempertahankan mahkota gelarannya.