Skip to main content

Sukan Lain

Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2018: Malaysia mara ke suku akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

nicol_1.jpg

Malaysia menempah tempat dalam suku akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2018 selepas menumpaskan Hong Kong 3-0 dalam perlawanan Kumpulan D yang berlangsung di Dalian, China, hari ini.

Kemenangan kedua berturut-turut diraih skuad kebangsaan itu menyaksikan mereka mengungguli Kumpulan D dengan enam mata, selepas kejayaan mengalahkan Afrika Selatan 3-0 dalam perlawanan pembukaan, semalam.

Advertisement

Dalam perlawnanan hari ini, juara perseorangan Sukan Asia 2018, Datuk Nicol David, diberi tentangan amat sengit sebelum berjaya menundukkan  Annie Au Wing Chi 6-11, 6-11, 11-6, 11-4, 11-6 dalam perlawanan pertama, menurut laman web kejohanan www.wsfwomensteams.com.

Juara kebangsaan, S. Sivasangari, menyumbangkan mata kedua buat Malaysia selepas menjinakkan  Joey Chan Ho Ling; 15-13, 7-11, 11-8,  11-9 sebelum bekas pemain nombor lima dunia, Low Wee Wern, menamatkan saingan dengan menumpaskan Lee Ka Yi 6-11, 12-10, 11-8, 11-9 dalam perlawanan terakhir.

Malaysia akan mengakhiri pusingan awal dengan bertemu Switzerland, esok.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas dalam setiap daripada empat kumpulan akan tersenarai dalam lapan pasukan teratas.

Sebanyak 16 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan dwitahunan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video