Skip to main content

Tenis

Kejohanan Lelaki AS: Garin atasi Querrey untuk ke final

christian-garin.jpg
Christian Garin mengatasi pemain pilihan keenam kejohanan, Sam Querrey, awal pagi tadi untuk mencongak perhitungan dengan Casper Ruud dalam final Kejohanan Tenis Gelanggang Tanah Liat Lelaki Amerika Syarikat (AS) di Houston, esok.

Garin hanya dipisahkan dua mata untuk tewas dalam set pertama ketika Querrey mendahului 6-5, namun dia bangkit untuk mengungguli perlawanan dengan kemenangan 7-6, 6-2 dalam separuh akhir kejohanan bertaraf ATP 250 itu.

"Keadaan hari ini amat perlahan dan berangin. Ia amat baik untuk saya.

"Saya terlalu fokus dalam set kedua dan saya berasakan dia sudah mula kepenatan pada penghujung aksi, namun saya beraksi dengan amat baik," kata Garin selepas mara ke final kedua kejohanan di gelanggang tanah liat tahun ini.

Garin tewas kepada Guido Pella dalam final Terbuka Brazil, bulan lalu, namun dia berpeluang untuk menyertai kelompok 50 pemain terbaik dunia andai meraih kejuaran di River Oaks Country Club itu.

Sementara itu, pemain kelahiran Norway, Ruud, akan berdepan final pertamanya dalam kejohanan bertaraf jelajah selepas menewaskan wakil Colombia, Daniel Elahi Galan, 7-5, 6-2 dalam separuh akhir.

Advertisement

Must Watch Video