Pemain skuasy wanita negara, Low Wee Wern, semakin hampir untuk merebut gelaran juara Kejohanan Kebangsaan buat kali ketiga selepas menewaskan pemain muda, Aifa Azman, dalam aksi separuh akhir, sebentar tadi.
Wee Wern yang merangkul juara pada 2012 dan 2014, bagaimanapun, terpaksa berhempas-pulas dalam aksi sengit sehingga ke set penentuan sebelum menang 3-2.
Mendahului dua set pertama, Wee Wern kembali dicabar apabila pemain berusia 16 tahun itu menguasai set ketiga dan keempat dengan keputusan 11-7, 11-8.
Agak tertekan dalam set penentuan berikutan kecederaan di bahagian rahang yang dialami Aifa sehingga memaksa perlawanan dihentikan sehingga tiga minit sebelum kemenangan akhirnya berpihak kepada Wee Wern.
"Saya beraksi bagus hari ini, namun jelas sekali pergerakan saya agak berkarat di dalam gelanggang.
"Tersisih selama 20 bulan, secara jujurnya saya tidak tahu apa yang mahu dijangkakan.
"Saya menaruh harapan besar dan saya tidak pasti adakah ia memberi pulangan kepada saya.
"Apapun, menang tetap menang meskipun bukanlah permainan terbaik saya.
"Saya masih dapat meneruskan perjuangan untuk sehari lagi sambil mengharapkan akan bertambah baik," ujar Wee Wern di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.
Lawan kepada bekas pemain nombor lima dunia itu adalah pemain nombor satu negara, S. Sivasangari, yang meloloskan diri setelah berdepan Rachel Arnorld menerusi kemenangan 3-2.
Semestinya, aksi final esok bakal menentukan pemain perseorangan kedua yang akan beraksi dalam Sukan Asia bulan depan.
"Saya perlu berada di tahap terbaik kerana tahun ini merupakan kempen pertama saya dalam Sukan Asia, " ujarnya.
Sementara itu, Ivan Yuen, turut ke mara ke final selepas menundukkan Ng Ean Yow dalam aksi separuh akhir, secara tidak langsung mengesahkan satu lagi slot acara perseorangan lelaki bagi Sukan Asia 2018, bulan depan.
Aksi di separuh akhir begitu penting buat Ivan untuk merebut tempat dalam temasya Jakarta-Palembang 2018 selepas Nafiizwan Adnan terlebih dahulu mengesahkan tempat selaku perseorangan pertama.
Diatasi dalam set pertama masih belum mematahkan semangat Ean Yow mengatasi Ivan dalam set kedua dengan keputusan 11-8.
Namun, aksi tidak menjadi Ean Yow dalam dua set terakhir memberi peluang kepada Ivan untuk kembali menguasai perlawanan dengan kemenangan mudah 11-4, 11-3.
"Paling penting, saya akhirnya berjaya meraih tempat (dalam Sukan Asia).
"Saya mengakui berasa tertekan kerana pemain muda sentiasa menghadirkan cabaran sengit.
"Jelas sekali mereka ingin mengalahkan anda," kata Ivan.
Ivan bakal membuat perhitungan sama seperti edisi lalu dengan pilihan utama kejohanan, Nafiizwan, yang menundukkan Muhammad Syafiq Kamal 3-1.
"Dalam set kedua dan ketiga, fokus saya agak santai," ujar Nafiizwan.
Penulis Jemputan
Sat Jul 07 2018