SUKAN LAIN
Kejohanan Individu Asia: Wakil negara gagal ke final
Dua pemain skuasy wanita negara, Low Wee Wern dan S. Sivasangari, gagal meneruskan kemaraan ke pentas final Kejohanan Skuasy Individu Asia 2019 yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.
Saingan separuh akhir hari ini menyaksikan Wee Wern terpaksa bergelut bermain dalam aksi empat set, namun lawannya yang merupakan pilihan pertama, Annie Au, lebih bijak mengatur langkah untuk memastikan slot ke final dengan keputusan 6-11, 13,11, 11-13, 4-11.
Namun, Wee Wern tetap memasang tekad untuk bangkit dalam saingan Terbuka British, 20 Mei ini dalam misi memperbaiki rankingnya yang kini berada di kedudukan ke-28 dunia.
Iklan
"Sukar untuk menerima kekalahan di tempat sendiri. Saya bagaimanapun telah mempamerkan permainan yang lebih baik berdepan Annie. Saya berpandangan ini adalah persembahan terbaik berdepan pemain di bawah ranking 10 dunia," kata Wee Wern.
Sementara itu, Sivasangari pula mengakui gagal mempamer aksi terbaik apabila ditundukkan pilihan kedua, Joshana Chinappa, 7-11, 10-12, 3-11.
Pemain yang turun selaku pilihan keenam itu menyatakan dia perlu menggandakan usahanya dalam memperbaiki kelemahan untuk terus mara lebih jauh, namun kini dia hanya mahu memberi tumpuan kepada peperiksaan akhir di Amerika Syarikat.
"Lawan saya berada di tahap terbaik dan mengawal permainan. Hari ini bukan hari saya selepas gagal melakukan beberapa pukulan dengan baik," kata Sivasangari.
Sementara itu, Ng Eain Yow turut terkandas di separuh akhir, pemain berusia 21 tahun itu kecewa apabila ditundukkan oleh pemain pilihan pertama dari India, Saurav Ghosal dengan keputusan straight set, 2-11, 6-11 dan 4-11.
Saurav yang mengatasi Nafiizwan Adnan semalam terus mempamerkan aksi terbaik sehingga Eain Yow buntu dan sering melakukan kesilapan.
"Saurav telah membuktikan mengapa dia berada dalam kalangan 10 pemain terbaik dunia. Saya masih lagi cuba menilai persembahan saya dan tiada peluang untuk bangkit ketika berdepannya," kata Eain Yow.
Must-Watch Video