Skip to main content

Sukan Lain

Kejohanan Dunia: Pasukan wanita Malaysia terus longlai

safiyah.jpg
Aksi pasukan wanita Malaysia terus longlai dalam Kejohanan Boling Wanita Dunia di Las Vegas, Amerika Syarikat, apabila dua pasukan trio negara gagal layak ke pusingan separuh akhir semalam.

Pasukan Malaysia 1 yang terdiri daripada Sin Li Jane, Esther Cheah dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman menjatuhkan 3,893 pin untuk menduduki tangga ketujuh manakala Malaysia 2 yang terdiri daripada Nerosha Keligit, Natasha Roslan dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi di tangga ke-12 daripada 54 pasukan yang menyertainya, mengikut laman sesawang kejohanan www.2019wwc.worldbowling.org.

Mengikut format kejohanan, hanya empat pasukan terbaik layak ke separuh akhir, yang akan berlangsung Khamis ini.

Untuk rekod, tiada pemain Malaysia yang bermain cemerlang dalam kategori perseorangan dan beregu yang berlangsung lebih awal dalam kejohanan di South Point Bowling Plaza itu.

Sejumlah 177 pemain bowling dari 34 negara mengambil bahagian dalam kejohanan dwitahunan itu.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan tersebut ialah memenangi pingat emas di venue yang sama pada 2017.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video