SUKAN LAIN
Kejohanan Antara Negeri: Rafiq terus menyerlah
Jaguh boling tenpin negara, Muhammad Rafiq Ismail, terus menyerlah apabila merangkul pingat emas kedua dalam Kejohanan Boling Antara Negeri Edisi Ke-32 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, hari ini.
Selepas cemerlang dalam acara perseorangan semalam, pencapaian hari ini menyaksikan atlet berusia 22 tahun itu meraih gelaran keenam dalam tempoh sebulan, sekali gus memberi harapan kepada skuad boling negara untuk mencatat keputusan positif dalam Sukan SEA Filipina 2019, November depan.
Dalam kejohanan itu, Rafiq memperoleh pingat emas pertama dalam acara perseorangan lelaki selepas melakukan 1,383 jatuhan pin, diikuti pingat emas kedua melalui gandingannya bersama Syafiq Ridhwan Abdul Malek yang merekodkan 2,687 jatuhan pin bagi acara beregu lelaki.
Iklan
Pingat perak dimenangi gandingan Selangor, Tun Hakim Tun Hasnul Azam-Ahmad Muaz Fisol, dengan 2,553 jatuhan pin, manakala pasangan Sarawak, Brandon Ting-Chong Jun Foo, meraih gangsa dengan 2,510 jatuhan pin.
Mengulas mengenai prestasi hari ini, juara dunia 2018 itu, yang mewakili pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), berterima kasih kepada pasangannya, Syafiq Ridhwan, yang membantunya mendapatkan kembali ’sentuhan’ terbaik.
Rafiq bermula dengan agak perlahan dalam dua game pertama apabila sekadar melakukan 166 jatuhan pin dan 157 jatuhan pin, namun dalam game kelima, dia melonjakkan kedudukan dengan melakukan 297 jatuhan pin yang membawa kepada kemenangan mereka.
Dia seterusnya berharap dapat terus menampilkan aksi cemerlang bagi mempertahankan gelaran yang dimenanginya tahun lalu dalam Kejohanan Boling Kebangsaan ke-43 di venue sama hujung minggu ini, yang juga pentas meraih tiket menyarung jersi negara dalam Sukan SEA 2019.
Rafiq dan Syafiq Ridhwan akan bergandingan dengan Timmy Tan dan Muhammad Hafiz Zainuddin dalam acara berpasukan lelaki, esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video