Ketua jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, menyerahkan nasibnya kepada pihak pengurusan setelah akur misinya untuk membawa Malaysia layak menyertai Kejohanan AFC tahun depan berakhir dengan kegagalan.
Malaysia berdepan kempen terburuk dalam Kejohanan AFF di Bandaraya Ho Chi Minh, Rabu lalu.
Skuad negara bukan sahaja gagal ke separuh akhir, malah tewas kesemua perlawanan di peringkat kumpulan.
Sebagai naib juara edisi lalu, igauan ngeri itu melenyapkan impian Malaysia untuk layak ke Kejohanan AFC.
Chun Yong akur terhadap segala kemungkinan kerana hakikatnya, pasukannya hanya melewati tempoh persedian kurang daripada dua bulan berbanding negara lain, Australia, Vietnam dan Indonesia, yang memiliki persiapan rapi sejak awal tahun ini.
"Saya masih percayakan pemain saya.
"Saya percaya mereka mampu bangkit dengan amat kuat Kerana saya kenal perwatakan pemain saya.
"Dalam perlawanan, walaupun kami kalah, kami masih berpeluang untuk bangkit dan menang.
"Tetapi beberapa kesilapan individu yang kecil itu dilakukan oleh pemain muda," katanya.
Chun Yong akan melalui proses penilaian menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Futsal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bulan depan.
Dia juga akan mengemukakan rayuan untuk mengadakan persiapan lebih awal bagi mengelakkan tragedi sama berulang.
"Sudah pasti saya mengambil tanggungjawab itu sepenuhnya.
"Sebagai jurulatih, saya perlu akur dan bertanggungjawab.
"Pada masa sama, saya masih berbangga dengan pemain saya.
"Mereka dapat menyesuaikan diri dengan disiplin (latihan) saya menjelang kejohanan ini dan mereka beraksi dengan sepenuh hati," tambahnya.
Penulis Jemputan
Sat Oct 26 2019