Skip to main content

Futsal

Kebangkitan Selangor benam KL City

sel.jpg
Selangor membuktikan keunggulan selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Kuala Lumpur City 3-2 dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, malam tadi.

Aksi sulung KL City dan Selangor musim ini berlangsung sengit dan tidak seperti pertemuan terakhir mereka tahun lalu yang memihak skuad kendalian Addy Shirullyzam Shafie itu 6-3.

Keresahan yang ditimbulkan KL City menyaksikan lawan yang juga juara bertahan perlu bergantung harap kepada ketangkasan penjaga gol kebangsaan, Azrul Hadee Taufiq, bagi menyelamatkan deretan cubaan tepat.

KL City juga berpeluang menamatkan babak pertama dengan gol pendahuluan, namun sepakan penalti yang diperoleh gagal disempurnakan Sharul Aizat Ramlan.

Selepas 10 minit babak kedua bermula, pemain KL City, Wan Raziq Wan Zulhasmi dan Sharul Aizat menebus kehampaan sebelum rehat dengan dua jaringan pendahuluan..

Namun, sebaik sahaja time out diminta Selangor, juara bertahan itu melancarkan kebangkitan, bermula dengan jaringan Syed Aizat Daniel Syed Nasir pada minit ke-38.

Syed Aizat terus menghukum kealpaan lawan dengan ledakan hatrik dalam tempoh tiga minit sekali gus memastikan kebangkitan Selangor untuk memulakan saingan 2020 dengan langkah kanan.

Kredit foto: FAM

Advertisement

Must Watch Video