SUKAN LAIN
KBS, MSN tidak bertanggungjawab hutang persatuan
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak mahu bertanggungjawab terhadap sebarang hutang persatuan sukan kebangsaan melainkan jika ia melibatkan prestasi atlet kerana keutamaan yang diberikan kepada atlet melebihi kepentingan persatuan itu sendiri.
Syed Saddiq menegaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sedia untuk memberikan bantuan andai ia melibatkan keberkesanan prestasi atlet.
Namun, hutang yang melibatkan persatuan sukan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) diletakkan sebagai 'hutang khas' dan tiada perancangan daripada pihaknya untuk membantu menyelesaikan perkara itu.
Iklan
"Perkara ini sudah banyak dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu.
"Ia masalah yang berulang tetapi dalam MSN, kami memang bertanggungjawab untuk membantu persatuan bagi melahirkan dan membiayai atlet untuk menyertai kejohanan antarabangsa dan tempatan.
"Namun buat MOM, ia diasingkan," katanya.
Syed Saddiq masih menunggu laporan rasmi daripada MOM untuk mengambil kira jumlah sebenar yang perlu dibayar persatuan terlibat kepada badan induk itu.
Isu itu melibatkan atlet kategori B yang gagal memastikan kilauan pingat dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.
Sehingga kini, masih terdapat beberapa persatuan yang gagal melunaskan kos penyertaan atlet yang telah didahulukan oleh MOM.
"Dalam bab ini, sesiapa yang berhutang perlu menjelaskannya secepat mungkin.
"Saya akan menunggu laporan rasmi daripada pihak MOM untuk melihat apa yang akan mereka lakukan bagi memastikan kelangsungan kewangan mereka.
"Jika terdapat sebarang masalah, kami akan melihat bantuan apa yang boleh dihulurkan kepada mereka," tambahnya.
Must-Watch Video