SUKAN LAIN
Karnival Pelapis: SSTMI bangkit mara ke final bola jaring
Pertarungan dramatik dalam separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Karnival Pelapis di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini, menyaksikan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) mara ke final selepas menewaskan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
SSTMI pada awalnya menerima tentangan sengit apabila ketinggalan 20-22 dalam suku pertama.
Bagaimanapun, kombinasi mantap di bahagian pertahanan serta tengah membawa mereka ke perlawanan akhir dengan keputusan muktamad 42-39.
Iklan
Jurulatih pasukan, Norizan Rajab, berjaya membentuk pasukan ampuh dengan menurunkan beberapa muka yang pernah bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 Perak, selain tonggak kebangsaan yang muncul juara Kejohanan Remaja Asia di Jepun, Siti Maisarah Affandi.
"Pengalaman beraksi di Jepun sebelum ini menjadi kelebihan.
"Saya harap kami dapat meraih kedudukan baik dalam Sukma tahun depan," kata Maisarah.
Norizan pula menggesa anak buahnya agar tidak mudah berpuas hati dan terus memantapkan permainan.
"Sikap bersatu hati membawa SSTMI ke perlawanan akhir.
"Saya harap mereka dapat memperbaiki kesilapan sejak perlawanan pertama yang lalu dengan permainan yang lebih sistematik dan cantik," katanya.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menang mudah apabila menundukkan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) 51-24.
Must-Watch Video