SUKAN LAIN
Karim optimis pertahan jawatan presiden KOM
Tidak gentar cabaran yang bakal dihadapi, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, optimis mampu mempertahankan jawatan itu walaupun akan ditentang timbalannya, Datuk S.M. Muthu, dalam pemilihan badan induk olahraga negara itu, Ahad ini.
Beliau tetap yakin untuk mempertahankan jawatan sepenggal lagi kerana menganggap untuk menjadi presiden KOM, individu berkenaan perlu mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa.
“Tujuan saya untuk teruskan kedudukan dalam KOM bukan untuk sebarang kepentingan peribadi. Saya hanya mahu bantu KOM dan atlet. Saya sendiri pun seorang atlet, saya mempunyai minat dan semangat yang tinggi.
Iklan
“Jika saya tidak dapat pertahankan jawatan ini, saya akan terus menabur jasa serta membantu sukan olahraga,” katanya dalam sidang media di Wisma MOM, hari ini.
Karim yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam arena olahraga tanah air menegaskan beliau tidak mahu meninggalkan KOM begitu sahaja, sebaliknya ingin merealisasikan impiannya untuk memastikan badan induk olahraga itu memiliki pejabat dan trek sendiri.
Antara perkara dijanjikan presiden berusia 63 tahun itu ialah membentuk hala tuju sukan olahraga di semua peringkat untuk pembangunan jangka panjang serta meningkatkan promosi dan kesedaran mengenai sukan itu sehingga ke peringkat akar umbi.
Selain itu, Karim menjanjikan penganjuran lebih banyak pertandingan di pelbagai peringkat, meningkatkan kursus kejurulatihan dan memastikan kebajikan atlet sentiasa terjaga.
Beliau juga menyasarkan skuad olahraga negara meraih sekurang-kurangnya sebutir pingat dalam Sukan Asia 2022 di Hangzhou, Zhejiang, China, dan muncul juara keseluruhan acara olahraga Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.
Mengulas dakwaan beliau merupakan seorang pemimpin diktator, Karim berkata perkara itu tidak benar kerana beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan sendiri tanpa mendapatkan persetujuan pihak lain serta campur tangan dalam bidang kuasa orang lain.
“Biar saya jujur dengan kamu semua, segala apa dibincangkan dalam KOM, semua maklumat diminitkan dan dihebah kepada semua. Semua dapat maklumat, dan masing-masing ada portfolio mereka sendiri, saya tidak pernah campur tangan,” katanya.
Seramai 39 perwakilan daripada 13 anggota gabungan layak mengundi dalam pemilihan sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video