Skip to main content

Sukan Asia

Karate: Sharmendran dikecewakan helah lawan dari Pakistan

sharmendran.jpg
Hasrat untuk melihat kemaraan jauh kapten karate negara, R. Sharmendran, dalam kategori 75kg lelaki terhenti dalam suku akhir apabila tertipu dengan lakonan lawan dari Pakistan untuk tewas dalam tempoh 15 saat sahaja di Pusat Konvensyen Jakarta, hari ini.

Segala-galanya bermula baik apabila Sharmendran menguasai kedudukan untuk mendahului atlet Pakistan, Saadi Ghulam Abbas, 5-3 untuk mencerahkan laluan ke separuh akhir.
 
Namun, drama dicipta Ghulam yang berpura-pura cedera berjaya menggugat konsentrasi Sharmendran yang membenarkan lawan mencatat kutipan tujuh mata dalam tempoh 15 saat buat menyingkirkan langsung harapan peserta Malaysia itu dengan keputusan 10-5.
 
Sharmendran sebelumnya mencetus harapan pingat tambahan setelah berjaya menundukkan lawan dari Jepun, Watanabe Daisuke, yang juga menduduki ranking ketiga dunia, menerusi kemenangan 3-1dalam  pusingan sebelumnya.

"Saya agak kecewa dan sedih kerana sudah berusaha keras. Segalanya terpadam dalam 10 saat terakhir. 

"Dengan izin Allah, saya akan bangkit. Kadangkala anda menang dan anda mungkin akan belajar," katanya.

Pingat emas acara itu dimenangi atlet Iran, Bahman Asgari Ghoncheh, yang mengalahkan Raef Adel Alturkistani dari Arab Saudi dalam peraturangan akhir.

Pingat gangsa pula menjadi milik wakil dari Taiwan, Wei-Chun Hsu, dan Bashar Al-najjar dari Jordan.

"Setiap aksi begitu sengit. Ia bukan mudah. Jepun adalah tiga pasukan terbaik dunia tetapi saya berdepan mereka dalam pusingan pertama. Itu tentunya bukan mudah," kata Sharmendran lagi.

Advertisement

Must Watch Video