Celine Lee Xin Yi membutirkan emas pertama buat kem karate Malaysia apabila mengungguli kategori kata individu wanita dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berlangsung di Dewan 1, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Dia menewaskan pencabar dari Indonesia, Sisilia Agustiani Ora, serta wakil Vietnam, Nguyen Thi Hang, untuk menduduki tangga teratas keseluruhan.

Bagi Celine, kejayaan itu dijadikan sebagai hadiah buat dua jurulatih yang telah membimbingnya selama tujuh tahun, Koo Jin Keat dan Lim Lee Lee.

"Kejayaan ini adalah untuk kedua-dua jurulatih saya.

"Mereka bekerja keras untuk membentuk saya.

"Jurulatih merangkap 'sensei' (guru) saya sejak saya berumur tujuh tahun," katanya.

Sementara itu, bagi kategori kata individu lelaki, Lim Chee Wei turut menambah emas buat negara.

Chee Wei menampilkan aksi konsisten untuk mengatasi Ahmad Zigi Zaresta Yuda (Indonesia) dan Min Hein Khant (Myanmar) di tempat kedua dan ketiga.

"Saya sangat gembira tetapi kemenangan ini bukan sesuatu yang mudah. Pesaing-pesaing memberikan cabaran yang sukar," ujar Chee Wei.

"Sukan SEA merupakan salah satu pertandingan antara kejohanan-kejohanan yang kami sertai.

"Tidak mengapa bagi saya kerana masih mempunyai kejohanan lain seperti Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia.

"Sukan SEA adalah motivasi utama saya," tambahnya.

Emas yang diraih Chee Wei menjadi emas ke-35 buat Malaysia setakat ini.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.