Skip to main content

Sukan SEA

Karate: Ali Reza tarik nafas lega

alireza.jpg
Jurulatih skuad karate negara, Ali Reza Souleymani, akhirnya mampu menarik nafas lega selepas Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) meluluskan kem latihan selama dua minggu sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan SEA Filipina 2019, November depan.

Pengurus skuad karate negara, Mohd Razlan Shah Mohamad Rabii, mengesahkan perkara itu ketika sidang media perkembangan menjelang Sukan SEA yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Sebelum ini, Ali Reza meluahkan kegusaran tentang kekurangan pendedahan kepada barisan atlet memandangkan temasya dwitahunan bakal bermula kurang tiga bulan lagi.

Apatah lagi, kebanyakan atlet remaja berusia bawah 21 tahun perlu menggalas tanggungjawab besar dalam memburu pingat emas sebanyak mungkin daripada sembilan acara yang dipertandingkan selepas ketiadaan ratu karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan.

"Kami akan membawa pasukan ke Iran untuk menghadapi kejohanan serta mendapatkan rakan sepelatih dari sana bagi meningkatkan pengalaman atlet negara," kata Ali Reza.

Sementara itu, atlet karate negara, S. Prem Kumar, mengakui pendedahan kem latihan tersebut dapat membantunya mempersiapkan diri dalam membantu negara meraih pingat apabila terlepas tiket final dalam Sukan SEA dua tahun lalu.

"Pengalaman yang bakal diraih dalam tiga bulan terakhir sebelum Sukan SEA bertujuan untuk mengenal pasti kemampuan ketika beraksi nanti," kata Prem Kumar.

Advertisement

Must Watch Video