Skip to main content

Sepak Takraw

Kami sudah lama berdiam diri -- Zulkifli

zulkifli.jpg
Bekas tekong negara, Zulkifli Abd Razak, menegaskan dia terpaksa mengambil keputusan untuk bersara selepas maruah keluarganya dicemari berulang kali.

Seluruh Malaysia terkejut apabila Zulkifli dan rakan sepasukannya, Mohd Syahir Rosdi, mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan pada 12 Julai lalu ekoran kecewa dengan layanan yang diterima berkaitan elaun.

Sebelum itu, dua tekong tersebut digugurkan daripada kem kebangsaan selain turut digantung daripada menyertai sebarang aktiviti sepak takraw anjuran Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Selepas sering dikatakan mempunyai masalah disiplin, Zulkifli bertekad untuk berhenti daripada berkhidmat buat skuad negara sambil Syahir menegaskan dia tidak mengejar wang semata-mata.

"Sebelum ini, maruah keluarga saya menjadi bualan tetapi kami berdiam diri. Namun, selepas beberapa kali, saya nekad untuk bersara. Keputusan sudah dibuat," ujar Zulkifli dalam temu bual Nadi@1 hari ini.

"Kami mendapati elaun dipotong separuh. Tak mengapalah, ambillah duit itu. Kami tidak mahukannya," tambah Syahir pula.

Sementara itu, Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, mendakwa terdapat pihak yang cuba mempengaruhi dua pemain tersebut agar mencemarkan nama baik persatuan itu.

"Kami mendapati ada pihak yang cuba mempengaruhi pemain ini. Mereka itu perlu disiasat," katanya.

"Dua pemain ini ibarat ranting pada sebuah pokok. Pokok sudah membesar dengan baik tetapi ranting dimakan anai-anai. Kami cuba selamatkan tetapi tetap rosak."

Advertisement

Must Watch Video