SUKAN LAIN
Juara silat dunia dari Singapura lebih tenang kawal pertarungan
Juara tiga kali dari Singapura, Sheik Farhan Sheik Alauddin, tidak sabar untuk mempertahankan gelaran Kejohanan Silat Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
Malah, dia berazam meraih gelaran keempat sebelum usianya mencecah 25 tahun, Disember depan.
Sheikh Farhan yang akan menerima cabaran dalam kategori J, 90-95kg, telah menanti selama dua tahun berikutan kejohanan itu ditunda akibat COVID-19.
Iklan
"Saya gembira dapat kembali bersaing selepas empat tahun.
"Kami sudah bersedia meneruskan kejayaan kami sejak 2018.
"Pertarungan kami berbeza dalam tempoh lapan tahun lalu.
"Saya lebih matang. Ketika awal kemunculan pada umur 17 tahun, saya lebih terdedah untuk menerima pukulan tapi sekarang saya lebih tenang, lebih menguasai pertarungan," katanya.
Sementara itu, pesilat Jerman, Tara Talay, yang memenangi pingat gangsa dalam Kejohanan Silat Remaja Dunia di Kuala Lumpur pada 2015 berharap negara ini sekali lagi akan memberikannya kedudukan podium dalam kemunculannya di peringkat tertinggi senior.
"Saya teruja dan gembira dapat berada di sini selepas tempoh kawalan pergerakan di Jerman.
"Saya tidak dapat berlatih, gelanggang latihan di tutup dan cukup menakjubkan untuk berkesempatan sampai ke Malaysia," kata Talay pula.
Kejohanan Silat Dunia Ke-19 akan bermula dari Rabu hingga Ahad ini dan akan disertai atlet-atlet dari lebih 30 negara.
Kali terakhir Malaysia menganjurkan Kejohanan Dunia adalah pada 2007.
Must-Watch Video