Skip to main content

Permotoran

Juara dunia tiga kali F1, Lauda, meninggal dunia

nikilauda-cropped_1mvcusv5bt1wb10c63gh9z5hcw.jpg
Bekas pemandu Formula Satu (F1) dan pernah bergelar juara dunia tiga kali, Niki Lauda, telah meninggal dunia pada usia 70 tahun.

Legenda F1, Lauda, yang pernah memenangi kejuaraan dunia pada 1975, 1977 dan 1984 meninggal dunia awal pagi tadi selepas disahkan oleh keluarganya.

Dianggap sebagai salah seorang pemandu terbaik dalam sejarah F1, Lauda bergelar juara dunia sebanyak dua kali bersama Ferrari dan sekali sewaktu mewakili pasukan McLaren.

"Dengan penuh sedih, kami mengumumkan bahawa Lauda yang disayangi telah meninggal dunia pada awal pagi Isnin," kata wakil keluarganya.

"Pencapaian unik selaku atlet dan usahawan tidak akan dilupakan, termasuk setiap aksi hebat, kejujuran serta keinginannya.

"Dia menjadi contoh dan pemangkin buat kami semua, merupakan seorang suami yang penyayang. Dia juga adalah seorang bapa dan datuk yang akan dirindui."

Lauda mengalami kemalangan teruk ketika Grand Prix 1976 di Nurburgring, di mana jentera Ferrari yang dipandunya terbakar.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu Austria itu menerima kesan melecur di muka, badan serta paru-paru tetapi dia kembali dan bergelar juara pada tahun seterusnya.

Lauda juga bekerja dalam pengurusan senior F1, termasuk jawatan pengerusi bukan eksekutif buat Mercedes sejak 2012 dan memainkan peranan penting dalam mendapatkan sentuhan Lewis Hamilton.

"Semua di McLaren amat bersedih apabila mengetahui rakan kami yang juga juara dunia F1 1984, Lauda, telah meninggal dunia. Lauda akan sentiasa berada dalam hati serta sejarah kami," ujar wakil McLaren menerusi laman Twitter.

Advertisement

Must Watch Video