Perenang negara, Phee Jinq En, bertegas untuk pulang ke Amerika Syarikat Disember ini bagi mendapatkan sentuhan jurulatih, John Klinge hingga Sukan Olimpik Tokyo, tahun depan.
Perkara itu telah didedahkan oleh perenang kelahiran Selangor itu dan ia menimbulkan persoalan, bagaimana dengan program latihan yang sudah diatur jurulatih kebangsaan, Chris Martin?
Jinq En berlatih sambil menyambung pengajian di Universiti of Purdue Amerika Syarikat sejak 2016.
Dia sudah menamatkan pengajian namun tetap mahu meneruskan latihan di bawah kendalian John Klinge.
"Saya berharap untuk kembali ke AS Disember ini atau Januari. Saya telah berhubung dengan jurulatih dan dia berpandangan saya perlu kembali ke sana dan saya akan berbincang dengan Malaysia Swimming mengenai perkara ini," kata Jinq En.
Mengapa tidak terus berlatih dengan Martin? Sedangkan semua perenang negara berlatih di Bukit Jalil?
"Saya tidak pernah berlatih dengan Martin dan saya tidak memahami corak latihannya sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo dan selepas berakhirnya temasya itu, saya akan kembali berlatih bersamanya."
Malaysia Swimming bakal menganjurkan kejohanan peringkat usia dan terbuka bermula 9 Oktober depan.
Jinq En merancang menyertai acara 50 meter, 100m dan 200m kuak dada.