Skip to main content

Hoki

Jelajah Eropah: Oltmans puji prestasi pemain negara

800x450_hoki.jpg
Ketua jurulatih pasukan hoki lelaki negara, Roelant Oltmans, memuji anak buahnya selepas mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Jerman dalam perlawanan ujian pertama mereka dalam Jelajah Eropah di Jerman, semalam.

Pakar taktik dari Belanda berusia 65 tahun itu berkata beliau gembira melihat peningkatan yang ditunjukkan skuad Harimau Malaysia sambil menambah pemainnya berjaya menyempurnakan peluang gol yang ada.

“Selain menggunakan peluang terbaik untuk pasukan, pemain juga bertahan dengan baik. Bagi saya, apa yang paling penting dalam jelajah ini ialah peningkatan sebagai satu pasukan.

“Kami akan analisis dan bincangkan perlawanan ini dan akan membangkitkan beberapa topik di mana kita mahu pasukan ini terus meningkat.

"Pada peringkat ini, peningkatan pasukan merupakan elemen yang paling penting bagi saya dan saya percaya keyakinan yang ada pada pemain kita akan meningkat dengan keputusan positif yang diperoleh,” tambahnya.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia mendahului 2-1 melalui pukulan penalti Muhammad Razie Abd Rahim dan gol padang Faizal Saari, masing-masing pada minit keenam dan 13, namun pasukan tuan rumah merapatkan jurang melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Tom Grambusch pada minit ke-23.

Penyerang negara, Muhammad Shahril Saabah, meletakkan namanya dalam senarai penjaring melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-53 sebelum jaringan padang Meor Muhammad Azuan Hassan menjadikan kedudukan 4-1 dua minit kemudian.

Tim Herzbruch menjaringkan gol kedua untuk pasukan tuan rumah melalui pukulan sudut penalti pada minit terakhir perlawanan, namun ia tidak mencukupi untuk menafikan kemenangan Malaysia dalam perlawanan pertama jelajah Eropah tersebut.

Malaysia akan meneruskan perlawanan ujiannya menentang Sepanyol 31 Julai ini, Belanda (6 dan 8 Ogos) sebelum bertemu Belgium, 10 dan 12 Ogos ini.

Selepas perlawanan ujian tersebut, pasukan negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan jemputan empat negara yang disertai Sepanyol, Ireland dan England dari 1-4 Ogos di Barcelona, Sepanyol.

Jelajah Eropah ini merupakan sebahagian daripada program persediaan Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) untuk skuad negara menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 November depan.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video