Skip to main content

Hoki

Jelajah Eropah: Malaysia tewas tipis kepada Sepanyol

hoki-lelaki.jpg
Walaupun tewas, skuad kebangsaan mempamerkan prestasi cemerlang apabila mengurangkan defisit gol dalam perlawanan ujian menentang Sepanyol di Barcelona, semalam.

The Malaysian Hockey Tigers ketinggalan 0-1 kepada pasukan ranking kesembilan dunia itu apabila Pau Quemada menjaringkan gol pada minit ke-30 untuk meletakkan Sepanyol di depan.

Ketua jurulatih, Roelant Oltmans, berkata empat pemain tonggak negara mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun gagal menyempurnakannya.

"S. Kumar (penjaga gol) beberapa kali menyelamatkan gol dengan baik tetapi Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Joel Samuel Van Huizen, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook gagal menyudahkan peluang-peluang itu," katanya dalam satu kenyataan.

Oltmans menambah selepas perlawanan tamat, kedua-dua pasukan telah mengadakan “penalty shoot-out” yang dimenangi Malaysia 3-2. 

“Adrian (Andy Albert) membuat penampilan sulung dan Marhan (Jalil) pula bermain bagi kali ke-250 untuk Malaysia. ‘Shoot-out’ persahabatan itu dimenangi 3-2 oleh Malaysia. Adrian adalah penjaga gol dan Faizal, Fitri dan Akhimullah penjaring gol,” tambahnya.

Dalam perlawanan ujian sebelum ini, pasukan hoki kebangsaan membuat kejutan apabila mengalahkan bekas juara dunia dan pasukan ranking ketujuh dunia, Jerman, 4-2 di Krefeld.

Malaysia akan meneruskan siri jelajah itu dengan perlawanan menentang Belanda, 6 dan 8 Ogos ini sebelum bertemu Belgium pada 10 dan 12 Ogos.

Pasukan kebangsaan juga akan mengambil bahagian dalam perlawanan jemputan empat negara yang turut disertai Sepanyol, Ireland dan England, bermula esok hingga Ahadi ini di Barcelona, Sepanyol.

Siri Jelajah Eropah itu adalah sebahagian daripada program Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk mempersiapkan skuad kebangsaan bagi perlawanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, November depan.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video