"Jangan pegang jawatan kalau hanya untuk kemasyuran"

Reaksi tersebut diluahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang menegur kepincangan pengurusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan KL City sehingga berlaku tunggakan gaji berbulan lamanya.

Kesulitan kewangan yang dialami oleh beberapa pemain dan barisan kejurulatihan daripada KL Extention yang terpilih mewakili Wilayah Persekutuan di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Segambut itu.

Berhubung perkara tersebut, ia sudah mencipta ekosistem yang tidak sihat apabila pemain sudah berjuang tidak mendapat pembayaran gaji yang sepatutnya.


"Nasihat saya kepada semua yang mahu memiliki kelab bola sepak, jangan hanya lihat pada nama glamor sahaja sebaliknya fikir akan tanggungjawab kerana nilai kewangan sangat besar dan harus mempunyai komitmen untuk membayar gaji.

"Saya berharap hanya orang yang berkemampuan menunaikan tanggungjawab tersebut atau tidak jangan sesekali pikul jawatan," ulasnya.

Dalam masa sama, Hannah juga menyambut baik keputusan kabinet untuk tidak membenarkan mana-mana Menteri terlibat secara langsung dalam persatuan sukan sebagai persetujuan sebulat suara.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, atas usaha mereka yang mahu membantu bola sepak Kuala Lumpur.

"Saya yakin mereka setuju dengan arahan Perdana Menteri dan perbincangan tersebut tiada sebarang pencanggahan," tambahnya.