Skip to main content

Sukan Lain

Jackie tidak akan sertai Terbuka Thailand

jackie-wong.jpg
Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong, mengambil keputusan untuk tidak menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand bermula 18 Mei ini walaupun berada di tahap terbaik untuk memecahkan rekod kebangsaan buat kali ke-15 dalam kariernya.

Jackie masih segar dengan kejayaan memecahkan rekod kebangsaan, 67.01m, ketika meraih tangga kelapan Kejohanan Asia di Doha, Qatar, Jumaat lalu.

Ia merupakan kali ke-14 atlet kelahiran Sarikei, Sarawak itu memecahkan rekod kebangsaan.

Ramai beranggapan juara bertahan Sukan SEA itu sepatutnya menyertai Terbuka Thailand bagi memecahkan rekod kebangsaan sekali lagi, namun Jackie memiliki perancangan tersendiri.

"Terbuka Thailand sememangnya tiada dalam perancangan kami.

"Kami mungkin tidak akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

"Saya mahu memecahkan rekod kebangsaan sekali atau dua kali lagi selepas ini.

"Ia sememangnya perancangan saya dan jurulatih," katanya.

Beberapa atlet negara merancang untuk menyertai Terbuka Thailand, termasuk jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei.

Namun, terdapat kejohanan kompetitif lain bulan depan.

"Dalam perancangan jurulatih, dia mahu saya berlatih dengan atlet yang mencatat balingan sejauh 70m dan ke atas.

"Ia mungkin di Asia atau di tempat-tempat lain yang sesuai," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video