Skip to main content

Sukan Lain

Jackie ketagih pecah rekod kebangsaan

jackie-wong.jpg
Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong, menededahkan dirinya sudah mula ketagih untuk memecahkan rekod kebangsaan selain sasarannya kini adalah untuk mencatatkan balingan sejauh 70 meter.

Jackie memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri ketika melakukan balingan sejauh 67.01m dalam Kejohanan Olahraga Asia di Doha, Qatar, minggu lalu.

Ia merupakan kali ke-14 atlet kelahiran Sarikei, Sarawak itu memecahkan rekod kebangsaan selain masih lagi memegang rekod Sukan SEA dengan catatan 65.90m yang dilakarnya dalam edisi di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Bercakap mengenai kejayaan itu, Jackie mendedahkan dia masih belum puas dengan catatan itu selain memburu balingan sejauh 70m demi memecahkan rekod kebangsaan buat kali ke-15.

"Saya menggemari cabaran untuk memecahkan rekod baru, bahkan saya sudah mula ketagih untuk melakukannya," katanya dalam temu bual Nadi@1 sebentar tadi.

"Sasaran saya dan jurulatih adalah untuk mencapai jarak sejauh 70m.

"Baling tukul besi lebih kepada teknik dan saya perlu terus berlatih untuk mendapatkan kematangan dan teknik terbaik.

"Saya perlu meningkatkan lagi aspek itu.

"Mungkin juga saya perlu berlatih dengan atlet yang pernah mencapai jarak sejauh itu seperti atlet dari Tajikistan dan Qatar.

"Jurulatih juga sedang merancang untuk menghantar saya berlatih dengan atlet-atlet seperti itu, namun ia masih dalam proses perbincangan," katanya.

Jackie turut mendedahkan dia tidak pernah membayangkan akan menceburi sukan baling tukul besi memandangkan dia juga pernah terpilih untuk mewakili skuad bola keranjang Sarawak.

"Pada asalnya, saya menyertai sukan lontar peluru.

"Kemudian saya bermain bola keranjang dan sempat terpilih untuk mewakili negeri Sarawak.

"Bagaimanapun, saya berdepan kesukaran untuk menyertai sukan berpasukan kerana lebih gemar bertindak sendirian.

"Sejak berusia 15 tahun, saya mula menyertai sukan baling tukul besi kerana tidak ramai atlet menyertainya ketika itu.

"Selepas itu, saya mula mewakili Sarikei, Sarawak dan seterusnya Malaysia," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video