Skip to main content

Sukan Lain

Jackie buru rekod baru dalam dua kejohanan

jackie-wong.jpg
Atlet lontar tukul besi negara, Jackie Wong, masih mempunyai dua lagi pertandingan pada tahun ini untuk cuba mencapai jarak 70 meter bagi memecahkan rekod kebangsaan miliknya.

Saingan Sukan Asia di Indonesia tempoh hari merupakan pembabitan pertama Jackie di peringkat berkenaan.

Nyata dia tidak mengecewakan biarpun menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan dengan catatan 65.92 meter.

Catatan berkenaan hanya dibezakan 0.09m berbanding rekod kebangsaan miliknya, iaitu 66.01m yang dilakukan dalam Terbuka Malaysia Mei lalu.

Kini dia mempunyai peluang untuk memintas catatan berkenaan dalam Kejohanan Jemputan Mokpo di Korea Selatan minggu depan selain Kejohanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada bulan depan. 

"Minggu ini kami meneruskan latihan sebab kami akan mengikuti satu lagi Kejohanan Jemputan Mokpo minggu depan.

"Selepas itu, saya akan mengambil bahagian dalam Kejohanan ATM pada bulan depan sebelum mungkin mengambil cuti selama dua minggu.  

"Dalam masa sama, saya akan kembali menyambung pelajaran di universiti pada minggu depan," kata Jackie. 

Secara keseluruhannya, Jackie sudah 12 kali memecahkan rekod kebangsaan tetapi catatan 70m sentiasa menjadi sasaran utama.

Ini kerana dia pernah membuat catatan tersebut dalam sesi latihan namun masih belum dapat menjelmakan lontaran sempurna sewaktu pertandingan.

"Kami akan turun tanpa tekanan tetapi saya masih menyasarkan rekod kebangsaan kerana memandangkan saya dalam prestasi yang sangat bagus ketika ini," katanya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video